Terkesan.
Seorang jejaka melamar seorang gadis dalam keadaan dia serba kekurangan. Si gadis menerima lalu mereka memulakan kehidupan serba sederhana.
Si jejaka masih baru dalam perniagaan.Setiap hari dia mengayuh basikal sambil menjual manisan sambil si isteri membonceng di belakang. Walau terpaksa berhujan , si isteri masih setia membonceng di belakang basikal.
Masa terus berlalu. Jejaka itu kini sudah mampu memiliki motosikal untuk keluar berniaga. Si isteri masih setia menemani si suami berniaga. Perniagaan berkembang dan akhirnya mereka mempunyai sebuah lori. Masih seperti dahulu, si isteri masih rajin menemani suami membanting tulang, berniaga manisan. Bezanya , kini mereka mempunyai seorang anak gadis. Dengan lori sebuah itulah, mereka berniaga dan menghantar anak perempuan mereka ketika sakit.
Berkat usaha dan kesabaran, kini mereka mempunyai kedai sendiri. Si anak gadis rajin seperti ibunya. Selepas sekolah terus ke kedai membantu ibu bapanya. Tidak janggal , tidak kekok mahupun malu untuk membantu kerana sejak kecil dia berada bersama ibu bapanya, mengulang kaji sambil melihat ibu bapanya berniaga.
Disebuah kehidupan seorang jejaka lain, berlainan pula kisah hidupnya.
Jejaka ini pada asalnya, punya si isteri yang memahami, keluarga yang bahagia. Dia bekerja keras, dan mahukan yang terbaik buat isterinya. Isterinya diminta hanya tinggal di rumah,menjaga anak tunggal mereka. Hari demi hari, perniagaan semakin berkembang, kehidupan semakin senang, namun si suami tidak sedar dia makin kehilangan sebuah kegembiraan. Si isteri yang dahulunya susah senang bersama, mulai menjauh dek kerana kesepian. Si anak yang ditatang bagai minyak yang penuh, mulai memberontak lagak si anak manja. Hampa si bapa. Niatnya hanya satu, keluarganya hidup senang. Namun, kelihatannya kehidupan ia semakin porak peranda tatkala kejayaan mulai dikecepai.
Manakah silapnya?Apakah beza jejaka pertama dan kedua? Mereka berdua bermula sama, seorang jejaka yang hidup susah yang cuba mengubah kehidupan kepada yang lebih baik. Namun mengapa akhirnya begitu jauh berbeza?
Kisah jejaka pertama, kisah yang dipetik dari iklan pendek. Kisah sebuah keluarga bangsa Cina yang tekun memperbaiki hidup. Walau sekadar iklan, ia adalah realiti. Realiti, di mana-mana perusahaan kedai Cina, terlihat kelibat si anak tekun menelaah di meja, sambil si ibu atau bapa berniagan di kaunter. Kadangkala si anak turut membantu. Hasilnya, anak tidak pernah rasa terpinggir apabila ibu bapa semakin sibuk dengan perniagaan, malahan mereka lebih-lebih lagi membantu.
Memetik kisah lelaki kedua, itulah realiti orang kita melalui filem Papadom. Anak dan isteri di rumah, ayah di tempat perniagaan. Alasan biasa si isteri dibiarkan sendiri di rumah, bagi menjaga anak. Sayang isteri, perlu duduk kerja di rumah sahaja.Apabila si ayah sibuk berkerja , si anak dan isteri di rumah mula rasa terpinggir, kekosongan. Tidak mampu memahami mahupun berkongsi kegembiraan si ayah yang mampu mengembangkan perniagaan mahupun kesusahan ayah seharian bekerja. Begitu juga si ayah, hanya terfikir si isteri dan anak cukup makan pakai, tapi matanya, dan mata hatinya gagal melihat kesepian di hati keluarganya. Lalu lahirlah keluarga yang pecah belah , si anak manja yang hanya tahu memberontak.
Lalu, marilah kita berubah. Andai sayang, bentuk dan libatkanlah mereka dalam kehidupan kita. Moga mereka lebih memahami dan akhirnya menjadi perintis gerak kerja kita.
-Nukilan ini sekadar kita refleksi pada diri kita bersama. Yang baik jadikan teladan yang buruk jadikan sempadan. -