Thursday, 12 January 2012

Bila Waktunya Mula Memanggil

Bangun-bangun Alyff tersentak sendiri. Handphone di tangan direnung dalam. Innalilalhiwainnailaihirojiun.. Spontan bibirnya menuturkannya. DariNya kami datang dan kepadaNya kami kembali. Nilson, kenalan Jerman yang mengikuti pertukaran pelajar FHH-UTeM telah pergi. Khabar terakhir yang disampaikan oleh temanku di Malaysia, keadaanNya kritikal. Astaghfirullahalzim.Dia terdiam sendiri .Lama. Namun dia tidak tahu apakah yang boleh dia lakukan untuknya.

Ingatanku berputar kepada kenangan beberapa minggu yang lalu. Sewaktu Kak Dila, sahabat sekelasnya di UTeM kemalangan. Dia terdiam juga. Ya Allah, apakah rahsia yang Kau simpan dan takdirkan pada 2011 dan 2012 ini ya Allah. Seakan badai ujian sedia melanda kehidupan. Betapa dia tersentap, dan terkenang, gadis manis yang begitu ikhlas dalam sebuah persahabatan. Ceria, aktif dan bersemangat. Kemalangannya dirasai oleh teman-temannya yang lain. Kemalangannya menyentak lalu memanggil rakan-rakan yang mengenali untuk menyisipkan doa serta solat hajat buatnya. Alhamdulillah, Allah Maha Mendengar. Allah masih mahu meminjamkan seorang gadis yang bernama Siti Nor Adilah Rahman ini kepada kami.

2011 dan 2012 menyaksikan seorang demi seorang, dari sekadar kenalan hinggalah insan tersayang menyahut panggilanNya. Firman kekasihnya dalam kitab cintaNya yang bermaksud,

Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
(surah al-Anbiya' ayat 35)

Dia merenung diri, mencermin hati. Adakah ini petanda Ilahi. DiperingatkanNya dirinya tentang kematian kerana tidak mahu dia hanyut dalam angan-angan dunia. Benar, angan-angan dunianya makin panjang. Nikmatnya yang banyak mula membuatkan dia berangan-angan dan bercita-cita tinggi, namun amalnya entah dimana. Bagaimanakah akhirnya dia nanti, husnul khotimah atau su'ul khotimah. Bagaimanakah andai dia pergi dalam keadaan yang buruk.

Ya Allah, jadi bagaimanakah ini. Bagaimanakah dia bisa kembali. Lima perkara sebelum lima perkara. Bisik hatinya.

Rasulullah s.a.w bersabda,

"Rebutlah 5 perkara sebelum 5 perkara; masa muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, sihat sebelum sakit, dan hidup sebelum mati"

(Hadis riwayat Imam Ahmad.)

Dia kini muda, punya sedikit harta, lapang, sihat dan masih hidup. Lengkap segala nikmat. Apakah harus dilakukannya sebelum waktu mula memanggil? Harta dan masa.

Firman Allah dalam surah Al-Munafiqun,

Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya:” Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh “(10).

Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.(11)

Mengenai masa, Allah berfirman dalam surah Al-'Asr,

Demi Masa!(1)
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -(2)
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.(3).

Wallahualam

No comments:

Post a Comment

 
;