Demam peperiksaan sedang melanda. aku tertunduk-tunduk menulis nota di atas kertas. Production Planning and Factory Planning, antara subjek yang aku ambil sebagai transfer credit di bumi Jerman. Sambil menelaah, sesekali aku menjenguk ruangan Facebook, kalau-kalau ada komen-komen yang menarik perhatian. Baru petang tadi aku bertanya khabar dengan sahabat di Malaysia. Malam semalam, buat pertama kalinya aku mendengar ucapan DSAI. Bahang perhimpunan 901 menarik perhatian ku untuk berkenalan sendiri dengan DSAI. Entah mengapa aku tertarik untuk mengetahui bagaimanakah DSAI ini, sedangkan sebelum ini aku muak walau sekadar membaca coretan berita yang sama tidak sudah-sudah.
Malam itu, ceramah Youtube Ustaz Azhar diganti sebentar dengan ucapan DSAI. Bait-bait demi bait ucapannya aku dengari. NICE! Agak berbeza dengan ceramah politik yang biasa aku dengar, sejak di bangku sekolah. Di bangku sekolah, aku menjadi anti-politik. Aku ingin jauh dari dunia politik yang penuh dusta dan penipuan kataku. Masakan tidak, bila gelombang PRU muncul sahaja, berbakul-bakul kata-kata nista pelbagai pihak bercampur fitnah dah ghibah keluar. Tepu mindaku. Tak bolehkah kalau nak berkempen tak memburukkan satu sama lain? Tambah-tambah pula, aku pernah menjadi "mangsa" (bak kataku) dipergunakan oleh ahli politik tempatan untuk menambahcantikkan ucapannya di sekolah ku. Aku tahu apa yang dikatakannya itu dusta, tapi aku kelu untuk membantah, kerana aku keliru dengan pendekatan berhikmah yang sepatutnya. Atas dasar tidak mahu menjatuhkan maruah pemimpin, ku diamakan sahaja. Namun, hatiku memberontak tindakannya. Namun apakan dayaku. Tumpuanku pada SPM sedikit terganggu dek menjadi "bahan berkempen" di U**M suatu ketika dahulu. Perlahan-lahan jiwaku membenci politik.
Namun seiring masa berlalu, perlahan-lahan mindaku dibuka mungkin. Aku tidak pasti benar atau tidak, namun aku dahulu jenis yang suka membaca dan berfikir. Bezanya dahulu santapan mindaku adalah akhbar-akhbar harian yang biasa, bukannya blog mahupun sumber internet yang lain. Malam semalam, aku mendengar ucapan DSAI. I can't believe it. He spoke my idea out. =), maksudku, ku setuju dengan pendirian dirinya. Keadilan. Aku mungkin tidak memahami keseluruhan agendanya namun untuk itu aku bersetuju. Bantuan kewangan harus diberikan kepada yang layak dan wajar. Namun "layak" itu sendiri berbeza mengikut individu. Bagi diriku aku lebih suka "adil dan layak ' itu bersama. Kerana adil itu dalam Islam meletakkan sesuatu pada tempatnya. Layak+Adil= akademik yang baik, sahsiah terpuji+ adil(apabila biasiswa diberi kepada mereka yang kurang kemampuan dalam kewangan, golongan msiskin dan sederhana). bagaimana mahu adil?Pada pandanganku, biasiswa diberi mengikut pakej (sebagaimana PTPTN memberi pinjaman mengikut gaji penjaga).
Terkagum juga aku bila mendengar ucapannya mengenai bagaimana dia pernah dilambung pujian meninggi, kemudian dikeji sehina-hinanya. Katanya " Saya pernah makan di semua istana dalam negara, dan saya juga pernah makan makanan yang hina, dibaling di atas lantai"(lebih kurang macam ni la ayat dia). Teringat aku akan firman cinta Allah yang bermaksud,
"Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
Sudah jadi pengikut DSAI pulakah aku? Entah lah. Namun, bagiku sudah lumrah kehidupan, akan mencintai kebaikan. Keadilan itu adalah antara sifat yang mulia bukan. Didikan demi didikan, Alhamdulillah membuka mataku tentang sirah Rasulullah yang tidak kelihatan. Politik wadah dakwah. Bagaimana Rasulullah menjadikan kota suram Madinah menjadi Munawwarah, yang bermaksud cahaya. Melalui pendidikan akidah seterusnya politik; penguatkuasaan undang-undang Islam , hubungan diplomatik dan sebagainya. Perlahan-lahan politik itu menjadi murni semurni tujuan asalnya, sebelum dikotori oleh sifat hasad manusia. Dunia Barat yang maju, punya kelompongan , gara-gara hanya berpaksikan akal. Sekularisme, liberalisme dan isme lain yang bercambah dari kesingkatan akal manusia , ternyata bukan jawapan terbaik. Maju namun hancur akhlaknya. Betapa ramai manusia yang berpaksikan akal, akhirnya kecewa. Kecewa kerana kepercayaan dan perjuangan berlandaskan pandangan mata dan akal fikiran.Lantas ku teringat penawar terbaik yang Rasulullah bawakan, wahyu dari Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Bijaksana,iaitu Islam. ada enam ciri khusus Islam tidak silapku yang menjadi landasan untuk memilih pimpinan negara. Sungguh aku adalah manusia yang dhaif dan lemah! Astaghfirullah..insyaAllah akan ku kongsikan enam ciri khusus itu di masa yang lain. Semoga ia dapat menjadi pedoman bersama dalam memilih pimpinan, bukan sekadar bersandarkan pandangan mahupun akal. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment