اَشْهَدُ اَنْ لاَاِلَهَ الا اللَّه وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ
وَاَشْهَدُ اَنْ مُحمَّدا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اَللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنْ المُتَطَهِّرِيْنَ
وَاجْعَلْنِي مِنْ عِبَدِك الصَّالِحِيْنَ
Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, Tuhan yang Esa tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad hambaNya dan pesuruhNya.Ya Allah jadikanlah aku daripada orang yang bertaubat dan golongkanlah aku daripada hambaMU yang soleh.
Bait-bait doa selepas berwudhu' yang terlafaz tersulam dengan maknanya menusuk jiwanya.Titisan air wudhu' di wajahnya diraup dengan tangannya. Dibukanya lipatan hujung seluarnya. Lipatan lengan kemeja biru lembutnya dibiarkan sahaja. Dia selesa begitu.
Kakinya dilangkah sederhana pantas ke arah ruangan solat muslimin Masjid Biru. Dia tidak mahu kelihatan tergesa-gesa, kerana peribadi seorang mukmin itu sewajarnya tenang. Tidak terburu-buru, tidak terlalu laju, tidak terlalu lambat dalam perbuatan. Dia ingin mencontohi Rasullullah saw insyaAllah,sederhana dalam segenap perkara.
Jam tangannya menunjukkan pukul 4.00 petang. Dia masih punya setengah jam sebelum masuk waktu Asar.
"Auf, asif ana bertanya. Anta sudah berpunya?" tanpa dipelawa suara Aqif terngiang-ngiang kembali di telinganya.Terkebil-kebil matanya mendengar bait patah perkataan sahabatnya itu. Sedaya mungkin dikawal perubahan riak wajahnya. Control macho kah? Tidak. Lama dia terdiam. Tidak pernah dijangka akan diajukan persoalan itu.
" Aik Qif, soalan apakah ini. Anta nak meminang anakah?" Santai dia menjawab.Dia mengukir senyuman kecil, menutup gelodak di dada.
"Kalau ya?" duga Aqif.Namun terasa ada ketegasan di hujung suara itu. Ini bukan soalan cepu mas mahupun gangsa apatah lagi perak, ini benar-benar serius.
"Belum Qif."Pendek jawapannya. Dia tidak mahu bertarik tali dengan sahabatnya. Masa itu usah dibuang untuk bermain tarik tali. Perkara yang boleh diselesaikan secepatnya , biarlah dicepatkan.
" Moleklah begitu. Ana datang menyampaikan hajat seorang muslimat, Auf. Kalau anta setuju, insyaAllah antum boleh bertaaruf."
Bicaranya dengan Aqif minggu lalu bermain-main di dalam kotak fikirannya. Beruntungnya dia kerana ada yang sudi memulakan langkah perkenalan dengannya. Teringat dia, bagaimana Saidatina Khadijah meminang Rasulullah. Allah. Beruntungnya dia, dia hanya insan biasa yang penuh kelemahan, namun masih ada yang sudi mendekati. Malu rasanya menjadi muslimin, kerana tidak berkemampuan dan keberanian untuk memulakan langkah itu.
"Subhanallah. Alhamdulillah.. " Hanya itu yang mampu dilafazkan olehnya.Zikir-zikir itu diteruskan alunannya dalam hati. Kelu lidahnya menutur bicara. Ditatap wajah bersih Aqif, yang masih setia menanti jawapannya.
"Jadi jawapannya...?"Aqif tersenyum-senyum melihat raut wajah sahabatnya itu. Gelabah kentang. Setenang manapun Auf, sebagai sahabat , Aqif dapat membaca riak tersembunyi di wajah tenang itu. Dia kagum dengan peribadi Auf, sentiasa merendah diri mengikut resmi padi, makin berisi makin tunduk. Walaupun sebenarnya bukan sekali dua dia merisik bagi pihak muslimat-muslimat yang lain, namun reaksi Auf masih gelabah-gelabah dalam tenang begitu. Paling dia kagum cara Auf menerima dan membuat keputusan. Walaupun dia sentiasa cuba didekati atau dirisik, namun Auf jarang sekali melatah. Kalaulah dia di tempat Auf, sah-sah dia pening. Ramai juga sahabat-sahabatnya yang lain, bijak berorganisasi dan bekerja, namun bila masuk bab perasaan , mudah benar melatah.
"Ana istikharahkan dulu ya, Qif. Tentang siapakah orangnya, ana minta anta rahsiakan ya, sehingga ana mantap dengan istikharah ana." balas Auf sambil tersenyum.
"Pasti?" duga Aqif.
"Cinta tak pernah terbunggar dan terlebur, pada redup mata yang menipu," balas Auf lembut. Sempat pula dia memetik bait kata lagu Setanggi Syurga itu.
Biarlah dirahsiakan identiti muslimat itu.Padanya, lebih mudah dirinya ingin beristikharah tanpa dibayangi dengan keindahan duniawi kurniaan Allah itu. Itu cara dia untuk melentur keinginan dalam dirinya. Dia ingin memastikan kesediaan dirinya bagi menerima tanggungjawab itu. Usah kerana si dia cantik, dia terus bersetuju ataupun usah kerana si dia serba kekurangan dia terus menolak. Pokok pangkalnya adalah dirinya. Bersediakah dia kala ini untuk mencari pemilik rusuk kirinya.
No comments:
Post a Comment